Soto ayam merupakan makanan tradisional Indonesia yang menggunakan bahan seperti ayam dan dimakan bersama kuah sup. Ianya juga begitu popular di Malaysia dan Singapura. Nak sedap lagi di makan bersama dengan begedil dan juga kicap pedas. Cara untuk membuat soto ayam ini tidaklah susah seperti yang anda sangka. Ianya amat mudah dan boleh dibuat di rumah dengan bahan yang minimal. Jadi pada hari ini sedikan resepi soto ayam istimewa dengan kicap ketagih yang dikongsikan oleh Puan Khadijah Jaafar di Facebook milik beliau.
Untuk resepi soto ayam ini kita akan bahagikan kepada 3 bahagian iaitu cara buat sup soto, begedil dan juga kicap ketagih.
Bahan-Bahan Sup Soto Ayam
- 1 ekor ayam di potong 4
- 3 sudu besar rempah soto/rempah sup
- 1/4 sudu kecil serbuk lada putih
- 1 jug air
- 4 sekawan (cengkih, bunga lawang, kayu manis, pelaga)
Bahan Kisar
- 1 biji bawang besar
- 5 ulas bawang merah
- 2 ulas bwang putih
- 1 inci halia
- 1 batang serai
Cara Masak Sup Soto Ayam
- Tumiskan 4 sekawan dan bahan kisar. Tumis sehingga naik bau dan kekuningan.
- Masukkan ayam bersama rempah soto/rempah sup. Jika tiada rempah soto boleh gantikan dengan rempah sup.
- Kacau sehingga sebati dengan ayam.
- Bila sudah sebati dengan ayam, tuangkan air.
- Masukkan serbuk lada putih, perasakan dengan garam.
- Masak sehingga mendidih dan ayam masak.
- Setelah masak, keluarkan ayam. Gorengkan ayam sehingga luarnya garing.
- Angkat dan carikkan ayam.
Bahan-Bahan Sambal Kicap Ketagih
- 2 genggam cili padi hijau
- 2 ulas bawang putih
- Kicap
Cara Masak Sambal Kicap Ketagih
- Goreng cili padi dan juga bawang putih tersebut.
- Cili padi perlu dipatah-patahkan supaya tidak meletup semasa menggoreng.
- Kisarkan dalam blender dengan kicap. Kicap boleh diletak sehingga tutup paras cili.
- Kisar sehingga hancur semuanya.
Bahan-Bahan Begedil
- 5 biji kentang- kupas kulit dan potong setebal 1/2 inci
- 3 sudu besar daging cincang/ayam cincang
- 3 sudu besar bawang goreng
- Sedikit daun sup
- 1/4 sudu kecil serbuk lada putih
- Garam
- 1 biji telur ayam
Cara Masak Begedil
- Goreng dahulu ubi kentang sehingga lembut dan kekuningan.
- Lenyekkan ubi kentang semasa masih panas.
- Masukkan daging cincang, daun sup, lada putih dan garam.
- Bentukkan bergedil.
- Panaskan kuali.
- Sementara itu, pecah telur dan kacau.
- Celup bergedil dalam telur dan goreng dengan minyak yang panas.
- Angkat bila dah nampak garing/masak.